floral

Friday 3 May 2013

Strategi Bagi Menghasilkan Profesion Kejururawatan Yang Celik ICT

Setiap hospital pada masa kini mementingkan semua staf mereka adalah golongan yang celik ICT. Ini adalah kerana, kebanyakan sistem hospital adalah sistem atas talian sama ada penyampaian maklumat pesakit seperti rekod pemeriksaan kesihatan pesakit yang terdahulu dan pengambilan ubat di farmasi. Profesion kejururawatan adalah yang paling penting untuk menjadi seorang yang pakar dalam bidang ICT atas sebab mereka paling banyak berurusan dengan pesakit. Justeru itu, terdapat pelbagai langkah yang harus dilakukan untuk memastikan profesion kejururawatan mampu menghasilkan staf yang celik ICT.

Langkah pertama yang boleh diambil adalah pemberian rebat bagi pembelian iPad oleh pihak kerajaan dengan kerjasama bersama pihak telekomunikasi di Malaysia seperti Celcom, Maxis dan Digi. Penggunaan iPad boleh membantu staf kejururawatan lebih memahami bidang ICT setelah digunakan dengan secara meluas setiap kali mengambil data pesakit yang seterusnya akan disimpan di sistem utama hospital terbabit. Oleh itu, Rebat Jururawat boleh menghasilkan staf yang celik ICT jika dilaksanakan pada masa akan datang.

Perlaksanaan daripada pihak pentadbiran hospital juga adalah antara langkah dalam menghasilkan staf yang celik ICT. Pihak pentadbiran perlu menghantar jururawat-jururawat ini bagi menghadiri kursus ICT secara berterusan dan berkala. Antara contoh kursus yang boleh diadakan adalah cara penggunaan Microsoft Spreadsheet yang selalu digunakan dalam bidang kerjaya mereka untuk mengira statistik pesakit yang datang ke hospital atau dimasukkan ke wad.

Antara langkah lain yang perlu dilaksanakan bagi menyediakan staf yang celik ICT adalah memperluas kawasan yang boleh mencapai talian internet menggunakan WIFI contohya sistem Jaring. Maka, setiap jururawat ini mampu sentiasa mengemaskini ilmu mereka berkenaan bidang ICT. Talian internet yang luas mampu meningkatkan kemahiran seorang jururawat untuk menjadi celik ICT.

Diri jururawat itu sendiri perlu bersedia untuk keluar dari zon selesa yang kebiasaannya menggunakan kaedah manual seperti menulis laporan kejururawatan. Setelah disediakan kemudahan oleh pihak hospital itu sendiri, contohnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyediakan sistem CHEtS, medipro, OMS dan medweb bagi memudahkan rutin harian jururawat, maka, jururawat perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk menggunakan kemudahan tersebut sebaiknya.

Langkah terakhir bagi melahirkan profesion kejururawatan yang celik ICT perlu dimulakan dari awal sejak mereka masih di bangku sekolah. Penerapan pembelajaran dalam bidang ICT akan membantu seseorang itu lebih celik ICT apabila bergelar seorang jururawat. Pihak pentadbiran hospital perlu memilih staf yang sudah mempunyai sedikit ilmu tentang ICT dan terus melatih mereka untuk menjadi lebih pakar.

Kesimpulannya, langkah-langkah ini boleh diaplikasikan bagi melahirkan profesion kejururawatan menghasilkan staf yang celik ICT pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment